Tips dari KOSMO! 33 hari menjelang SPM

Sumber : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1019&pub=Kosmo&sec=GenK&pg=gk_05.htm

Oleh SYALMIZI HAMID
syalmizi.hamid@kosmo.com.my

KEPADA yang baru sahaja menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR), mungkin anda boleh menarik nafas lega. Namun, perasaan itu pastinya tidak dapat dinikmati sepenuhnya selagi keputusan peperiksaan tersebut belum diumumkan.

Sementara itu, dalam tempoh sebulan lagi calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula akan berdepan dengan kertas peperiksaan mereka. Tiada lagi ruang waktu untuk berangan-angan mahupun berasa selesa sekiranya persediaan menghadapinya belum sempurna.

Ingat, SPM adalah penentu masa depan anda. Tempoh 33 hari bukanlah jangka waktu yang lama. Sepatutnya persediaan dari segi fizikal dan mental pada ketika ini sudah beres sepenuhnya.

Selain ingin mengingatkan agar calon-calon membawa semua kelengkapan asas pada hari peperiksaan seperti alat tulis, kad pengenalan dan slip peperiksaan, GenK pada minggu ini ingin berkongsi tip bagi anda yang sedang menunggu tarikh penting itu. Berikut adalah beberapa langkah yang ingin GenK sarankan agar anda dapat menjawab soalan-soalan dalam keadaan selesa.

Elakkan belajar pada saat akhir

Pastikan anda tidak melakukan ulang kaji pada saat-saat akhir kerana ia akan menjadi penyumbang kepada tekanan. Dalam tempoh sesingkat ini, anda seharusnya sudah ‘khatam’ dengan semua ilmu-ilmu yang telah dipelajari.

Walau bagaimanapun, ia bukanlah menjadi alasan untuk anda sekadar membelek buku-buku rujukan tersebut. Ruang masih terbuka untuk anda menyegarkan sedikit ingatan tentang topik tertentu. Namun perlu diingat, elakkan berterusan mengulang kaji pelajaran tanpa henti dalam tempoh seminggu terakhir sebelum peperiksaan. Sesekali, berehatlah.

Urus tekanan sebaik mungkin

Tekanan menjadi faktor utama yang membawa kegagalan tatkala menjawab soalan. Justeru, lakukan sesuatu agar anda tidak berasa gugup ketika terfikirkan hari penting tersebut. Lakukan aktiviti sihat seperti senaman ringan, berbual dan memilih pembacaan ringan agar anda tidak berterusan berasa berdebar.

Dapatkan sokongan moral daripada ahli keluarga mahupun rakan-rakan. Apabila berkongsi cerita, kadangkala ia boleh meredakan perasaan cemas. Dapatkan nasihat daripada mereka yang sudah berpengalaman terutamanya yang pernah berhadapan dengan situasi yang bakal anda alami itu.

Lapangkan fikiran

Persediaan sepenuhnya harus diselesaikan pada minggu ini. Lapangkan fikiran anda tanpa memikirkan mengenai apa yang masih tertinggal. Jangan fikirkan apa-apa lagi, sebaliknya melangkahlah ke dewan peperiksaan dengan penuh yakin dan bersemangat.

Pohonlah restu daripada ayah dan ibu serta guru-guru anda. Ia adalah satu kaedah psikologi yang amat penting untuk membuatkan anda berasa gembira dan bebas tatkala melangkah masuk ke dewan peperiksaan.

Banyakkan beribadat

Walaupun anda sudah berusaha dengan menghafal, belajar secara berkumpulan mahupun mengikuti kelas-kelas tambahan, usaha itu bagaikan tidak lengkap jika tidak diiringi dengan doa dan solat.

Apa kata tunaikan solat hajat bagi memohon hidayah daripada Tuhan dan pohonlah kerahmatan-Nya agar diberikan ketenangan ketika menjawab soalan. Bukan bermaksud menyerahkan tugasan itu sepenuhnya kepada Tuhan, sebaliknya proses itu sedikit sebanyak mampu meredakan tekanan anda.

Jangan abaikan kesihatan

Kesihatan juga menjadi faktor penting dalam menghadapi hari-hari akhir menjelang peperiksaan. Bayangkan, segala persediaan untuk menghadapi hari penting itu telah dilakukan tetapi anda pula dijangkiti virus demam selesema. Ia pasti mengganggu proses menjawab soalan tersebut.

Makanlah makanan yang sihat dan elakkan memakan makanan yang dibeli di kedai-kedai yang dikhuatiri tahap kebersihannya. Ubahlah sedikit selera makan anda dengan hidangan yang berkhasiat dan seimbang.

Mendapat tidur yang secukupnya juga amat penting. Anda disarankan agar tidur sekurang-kurangnya tujuh jam sehari demi kesihatan. Sebaik-baiknyanya, ketika malam sebelum hari peperiksaan, tidurlah seawal mungkin agar anda berasa segar dan tidak mengantuk pada keesokan harinya.

About Cikgu Adura

Teach chemistry | Mengajar Kimia @ SM Sains Alam Shah, Kuala Lumpur
This entry was posted in Motivasi, Persekolahan, SPM, Tips. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s